Thursday, July 24, 2014

Sambut Syawal

10 Cara Rasulullah Menyambut Hari Raya
Assalamualaikum w.b.t

1. Bertakbir
Firman Allah s.w.t, "Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadha), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjukNya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur" (Al-Baqarah: 185)

2. Lafaz ucapan Selamat Hari Raya
Dinyatakan dalam hadis hasan oleh al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a. katanya, "Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalullah minna waminka' (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)."

3. Meneruskan qiamullail
Jika sepanjang Ramadhan kita bersungguh-sungguh di malam hari beribadah, tiada salahnya untuk diteruskan pada hari2 lain.

4. Mandi pada pagi hari raya
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafie, Ali bin Abi Talib r.a. pernah ditanya adakah harus mandi setiap hari? Jawabnya, "Tidak harus. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri. Tetapi di Malaysia mandi setiap hari adalah suatu keperluan kerana keadaan iklim.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri
Dalam hadis riwayat Bukhari, Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma."

6.Memakai pakaian indah
Imam Syafie di dalam kitab al-Umm berkata, "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik pernah dimilikinya pada hari raya iaitu hari Jumaat, dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan tempat diadakan majlis." Tetapi BERSEDERHANALAH dalam berpakaian.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Hadis riwayat Tirmizi dari Ali bin Abi Thalib r.a., "Termasuk sunnah iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat." Tapi kalau dah jauh sangat naik kereta pun tiada masalah.

8. Mengerjakan solat Aidilfitri
Dalam hadis riwayat Bukhari, Ibn Abbas r.a. berkata, "Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya."

9. Bergembira di hari raya
Hadis riwayat an-Nasai, Anas bin Malik r.a. berkata, "Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata, "Aku datang kepada kamu sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliah." Sabdanya lagi, "Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebih baik iaitu Aidilfitri dan Aidiladha."

10. Mengerjakan puasa 6 hari pada bulan syawal.
Hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun."

Semoga amalan kita sepanjang Ramadhan diterima oleh Allah s.w.t dan semoga kita mampu istiqamah dalam beribadah dalam bulan2 lain juga setelah melalui fasa tarbiyyah sepanjang Ramadhan...Taqabbalullah minna waminkum...