(Disalin dari sesi soal jawab, kuliah Riyadhus
Salihin, 14.03.2014, Kajang)
Soalan: Saya ingin tahu adakah menyambut hari lahir
adalah haram. Bagaimana kalau hari lahir saya disambut oleh anak-anak, atau
anak-anak mengundang saya ke majlis tersebut yang mana susah untuk mencari
alasan untuk tidak menghadirinya.
Jawapan:
Apa yang pasti, menyambut hari lahir tidak menepati
sunnah Nabi sallallahu’alaihiwasallam. Kita dalam apa juga upacara, dalam apa
juga amalan kita, tentulah kita menginginkan kebaikan di sebaliknya.
Adakah kita hendak melakukan sesuatu amalan yang
akhirnya membawa mudarat kepada kita? Itu bukan orang yang berakal. Maka
menyambut hari lahir, paling kurang tidak ada faedahnya. Tidak ada berkatnya.
Tidak ada baiknya.
Mengapa kita kata begitu? Kalau benar ia ada
keberkatannya, ada baiknya, ada rahmatnya, ada keredhaan di sisi Allah
Subhanahu wa Ta’ala, semestinya ia telah diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi
wasallam[1].
Kerana apa juga kebaikan yang kita tahu, tidak lain
dan tidak bukan datang daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Selain yang
datang bukan daripada Nabi, itu bukan baik, kerana kalau baik, ia telah diajar
oleh Nabi. Maka apabila Nabi tidak mengajar sesuatu amalan itu, ini menunjukkan
bahawa ia tidak baik.
Maka begitulah dalam masalah menyambut ‘Happy
Birthday’, menyambut Hari Jadi. Kalau benar ia baik, pastinya telah ditunjukkan
kepada kita oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, atau paling kurang para
Sahabat, atau paling kurang para ulama yang muktabar seperti Imam Al-Syafi’i.
Ternyata Imam Al-Syafi’i tidak pernah mengajar pun.
Bahkan generasi Salafus Soleh keseluruhannya,
mereka tidak pernah menyambut Hari Lahir atau yang seumpamanya. Ini menunjukkan
amalan ini tidak ada (dalam Islam).
Bahkan bukti yang lebih nyata lagi, amalan
menyambut hari lahir ini jelas ia daripada amalan orang kafir, orang Nasrani.
Ada siapa yang ingin mengingkarinya? Tidak boleh hendak menafikan.
Ini jelas satu perbuatan meniru-niru orang kafir,
yang mana ia satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan Syarak. Kerana Islam
menegah kita daripada meniru-niru orang kafir.
Maka sama ada kita menyambut hari lahir orang lain,
atau orang lain sambut hari lahir kita, sama saja. Yang berbeza orang itu
sahaja. Tetapi perbuatan itu sama. Ia adalah sesuatu yang ditegah.
Bolehkah anak-anak kita sambut ‘Happy Birthday’
kita? Saya tak sambut, anak-anak yang sambut? Ia tak jadi, kena juga orang yang
punya birthday itu datang, tiup lilin, atau potong kek. Dari mana datang
amalan-amalan ini? Kenapa potong kek? Kenapa tak potong buah atau benda lain?
Hendak menunjukkan bahawa itu semua adalah
tasyabbuh (menyerupai amalan orang kafir). Tidak ada orang potong roti ke apa.
Dia kena potong kek juga. Tasyabbuh atau tidak tasyabbuh? Siapa yang
mengingkarinya jelas dia menafikan sesuatu yang jelas.
Susah untuk mencari alasan?
Kita hendaklah sentiasa mencari keredhaan Allah.
Jangan kita dahulukan keredhaan manusia. Kalau kita dahulukan keredhaan manusia
daripada keredhaan Allah, kita akan tersesat arah dan kita akan binasa
akhirnya. Maka kayu ukur kita kena betul; keredhaan Allah kena sentiasa
didahulukan.
Orang nak kata apa katalah. Tetapi kita tak nafikan
bahawa manusia ini ada yang lemah, ada yang takut, ada yang tak berani. Apapun
kita kena berusaha untuk kita mencari keredhaan Allah di atas keredhaan
manusia.
Susah nak cari alasan? Alasan yang paling cantik,
alasan yang insyaAllah selepas ini dia tidak akan ajak kita lagi, yang mana ini
yang kita inginkan, kenapa nak pusing, kona sana kona sini, aku sakitlah, aku
demam, anak aku sakit. Kalau begini, setiap tahun nanti dia akan jemput juga.
Tapi tentulah, buat apa nak marah-marah.
Orang-orang ini tidak tahu, orang-orang ini jahil. Cakaplah dengan baik, senyum
sehabis senyum, dan katakan, ini alasannya;
“Benda ini tidak ada asas dalam Agama, Nabi tidak
ajar. Saya khuatir ini semua akan dimurkai oleh Allah.”
Berat. Percayalah. Allah Subhanahu wa Ta’ala
berfirman kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلًا ثَقِيلًا
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu
perkataan yang berat.” (Surah Al-Muzammil: 5)
Agama Islam ini memang berat. Hukum hakam Syarak
ini memang berat. Ini tak boleh itu tak boleh. Sebenarnya benda yang boleh itu
banyak sangat, tetapi kenapa kita cari juga benda yang tak boleh.
Apa pun, benda yang tak boleh kita kata tak boleh.
Kita kena ada prinsip. Jangan kita jadi lalang, semua boleh, yang penting untuk
maslahat dakwah, slow-slow lah. Slow lah, takkan sampai pun matlamatnya.
Apapun, carilah alasan, apapun kita tidak boleh
menghadirinya. Kerana apa, kena ingat. Kalau kita pilih cara yang tidak betul,
apa hasilnya? Hasilnya akan membawa mudarat kepada kita juga. Kita rasa mungkin
kita pandai, tetapi Syarak sentiasa lebih pandai.
Kalau kita pergi sekali, katakanlah dengan apa juga
sebab dan alasan kita pergi happy birthday. Boleh jadi kita duduk saja di tepi.
Tetapi percayalah, selepas itu, tahun berikutnya kalau kita kata “Maaf, saya
tidak boleh hadir kerana ini majlis yang tidak menepati sunnah Nabi”. Dia akan
kata apa? “Eh, tahun lepas boleh kau datang?” “Oh, tahun ini kau dah dapat
wahyu?”
Kita nak jawab apa? Hendak mengatakan bahawa adalah
lebih berat untuk kita hendak membetulkan kesalahan kita yang dulu. Wallahu
a’lam.
(Disalin dari sesi soal jawab, kuliah Riyadhus
Salihin, 14.03.2014, Kajang)
[1] Sabda Nabi sallallahu’alaihiwasallam,
“Aku tidak meninggalkan sesuatu yang dapat mendekatkan kalian kepada Allah,
kecuali aku sudah memerintahkannya kepada kalian. Aku pun tidak meninggalkan
sesuatu yang menjauhkan kalian dari Allah, dan mendekatkan kalian ke Neraka,
melainkan aku sudah melarangnya atas kalian”. (Sahih. Riwayat al-Baihaqi)
No comments:
Post a Comment